Tuesday, December 20, 2011

POLITIK DARI KACA MATA ISLAM

"Adalah Bani Israil,mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para NabuiKetika seorang nabi wafat,nabi yang lain datang menggantikannya.Tidak ada nabi setelahku,namun akan ada banyak para khalifah"
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

"Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya,maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin,maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim)
(Hadith riwayat Thabrani)

Jika kita melihat serta memahami akan hadith-hadith di atas,tidak dapat tidak,kita boleh simpulkan bahawa Islam dan Politik tidak dapat di asingkan atau dipisahkan.Jika kita melihat senario semasa,Islam dan Politik seolah-olah cuba dipisahkan hanya kerana alasan yang diberikan bahawa "Islam hanya agama dan tidak sesuai untuk dicampurkan dalam politik","Politik Islam kolot dan tidak sesuai diamalkan pada zaman sekarang" serta banyak lagi alasan yang dikemukakan oleh golongan-golongan jahil ini.

Mereka ini lupa bahawa atau mungkin tidak pernah membaca kitab-kitab sejarah Islam yang mana telah dinukilkan serta dibuktikan oleh sejarawan bahawa Kerajaan Islam yang pernah gemilang suatu ketika dahulu adalah berpandukan kepada politik Rasulullah s.a.w yang mana ianya adalah politik Islam bukannya politik kotor seperti yang dapat kita lihat pada hari ini kerana Islam merupakan agama yang paling kaya dengan pemikiran politik.Pemikiran politik Islam bermula dari masalah etika politik,falsafah politik,agama,hukum hingga tatacara kenegaraan.

SIAPA?

Rasulullah s.a.w bersabda :

"Jika amanat telah disia-siakan,tunggu saja kehancuran terjadi.Ada sahabat yang bertanya; bagaimana maksud amanat disia-siakan? Nabi menjawab; jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya,maka tunggulan kehancuran itu"
(Hadith riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T :

"kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah"
(Surah Ali-imran : 110)

Sayyid Qutb rahimahullah dalam Fi Zhilalil Quran menafsirkan bahawa yang layak menjadi pemimpin umat manusia hanyalah "orang-orang yang berpredikat terbaik" kerana ingin meraih predikat umat terbaik itulah,umat Islam terdahulu tidak pernah berhenti ataupu lemah semangatnya dalam perjuangan menyebarkan risalah Islam ke seluruh permukaan bumi.

Akan tetapi,jika kita merenung kepada maksud hadith diatas dan kita adaptasi atau kita terjemahkan dalam senario sekarang maka kita akan dapati bahawa benarlah apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.Manusia hadir ke muka bumi telah diserahkan amanah sebagai khalifah untuk membangun dan memelihara kehidupan di dunia berdasarkan aturan dan hukum Allah S.W.T bukannya hukum yang diaturkan oleh manusia.

Buka mata dan celikkan minda,andai kata kita melihat situasi sekarang,umat Islam berada dalam kondisi dan situasi yang lemah serta paling rendah dalam memahami Islam.Kondisi ini menyebabkan segala bentuk pemikiran-pemikiran "rosak" menyusup masuk ke dalam tubuh dan pemikiran umat Islam.Hal inilah yang menyebakan umat Islam cenderung serta mudah mengabaikan hukum-hukum Allah.Akhirnya kehidupan mereka merosot sampai ke taraf rendah.Dalam situasi ini,umat Islam tidak lagi memiliki peranan dalam percaturan politik.

KEPERLUAN

Firman Allah S.W.T :

"...maka putuskanlah (perkara) mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu..."
(surah al-Maidah : 48)

"...barangsiapa yang tidak memutuskan (perkara)menurut apa yang diturunkan Allah,maka mereka itu adalah orang-orang kafir"
(surah al-Maidah : 44)

Politik merupakan keperluan dan Islam sendiri tidak memisahkan antara keduanya.Hatta orang tua,orang muda,kanak-kanak,pekerja kerajaan,pekerja swasta dan lain-lain,semuanya memerlukan kepada politik.Sedih dengan sesetengah golongan yang jahil yang dengan tanpa fikiran yang waras dan hujah bernas mengatakan "golongan ini tidak berhak bercakap soal politik","golongan ini masih mentah dalam dunia politik","golongan ini mahu menentang kerajaan" dan banyak lagi hujah-hujah yang jelik di sampaikan.

Adakah salah andainya apa yang ingin disuarakan atau apa yang ingin disampaikan adalah benar?

Adakah tiada kebebasan untuk menyatakan kebenaran dan menolak kebatilan?

Adakah kita harus melihat kezaliman di depan mata kita?

Persoalan ini saya tinggalkan untuk anda rungkaikan dan saya pasti anda tentu punya jawapan terhadap persoalan ini.

Sabda Nabi s.a.w :

"katakanlah walaupun apa yang ingin katakn itu adalah pahit untuk dikatakan"

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah ia berkata :

"Aku mendatangi Nabi s.a.w,lalu aku berkata : aku membai'ahmu berdasarkan Islam.Maka baginda mensyaratkan agar aku memberi nasihat kepada semua muslim"

Politik adalah keperluan kepada setiap manusia tidak kira peringkat umur,keturunan dan sebagainya.Ada yang berpendapat bahawa mahasiswa tidak boleh berpolitik.Adakah salah andai apa yang disuarakan itu adalah benar sehingga sanggup bertumbuk sesama ISLAM hanya kerana inign mempertahankan seseorang dek kerana maruah BANGSA tercalar dan sanggup membelakangkan kebenaran dan menerima kebatilan.Sedih melihat situasi ini.

Andainya Rasulullah s.a.w yang maksum boleh memberi ruang dan peluang kepada para sahabat untuk bersuara dan menyatakan pandangan mereka dalam sesuatu masalah.Mengapa kita umat dia yang sentiasa melakukan kesilapan hendak angkuh dan bongkak dengan tidak memberikan ruang dan peluang untuk masyarakat bersuara.

KESIMPULAN

Islam memandang politik dari kaca mata yang menyeluruh serta tidak mengasingkan antara keduanya.Kebebasan bersuara perlu andainya pemimpin itu zalim bagi kita menyatakan kebenaran serta menolak kebatilan.Jangan kita hanya berani seperti harimau yang mahukan habuan apabila maruah BANGSA dicabar tetapi bila maruah ISLAM dipalit dan dicabar,kita diam membisu seribu bahasa tanpa ada tindakan untuk mempertahankan ISLAM dek kerana kepentingan diri atau mungkin kerana bacul untuk berdepan dengan musuh-musuh Islam dek kerana kejantanan hilang menjadi seperti seekor tikus.


MUHAMMAD ZHARIF BIN AHAMAD
PELAJAR TAHUN 2 FEQH WA USUL
UNIVERSITI MU'TAH
THE HASHEMITE KINGDOM OF JORDAN

No comments:

Post a Comment