
Alhamdulillah,selesai sudah pertandingan wacana minda anjuran Biro Akademik Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA).Wacana minda kali ini membincangkan tentang tajuk Ulul Albab : Secangkir kopi vs Sesudu madu yang mana ahli panel yang lain adalah saudara Nasrul Yaqin dari tahun 1 dan juga saudara Ihsan Fadhli dari tahun 3. Wacana minda ini di moderatorkan oleh saudara Anas Abd Rahman.
"Ulul Albab"
Sesungguhnya Allah telah menurunkan Al-Quran yang mana ada istilah-istilah yang diguna pakai tidak diketahui oleh manusia pada waktu itu.Antara istilah-istilah yang digunakan adalah istilah "Ulul Albab".Istilah "Ulul Albab" ini sangat isitimewa sehingga disebutkan sebanyak 16 kali di dalam Al-Quran oleh Allah S.W.T
Para mufassir telah berbeza dalam mentafsirkan maksud "Ulul Albab".Imam Nawawi mentafsirkan "Ulul Albab" sebagai mereka yang berpengetahuan suci,tidak hanyut dalam derasnya arus dan yang paling penting mereka mengerti,menguasai dan mengamalkan ajaran Islam.Ibn Mundzir pula menyatakan bahawa "Ulul Albab" adalah orang yang bertaqwa kepada Allah,berpengetahuan tinggi dan mampu menyesuaikan diri dalam segala lapisan masyarakat.Dr. Danial Zainal Abidin pula mengatakan bahawa "Ulul Albab" adalah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna bagi mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektif yang betul.
Pentafsiran yang dilakukan oleh para mufassir tidak banyak bezanya dan jika kita konklusikan semua tafsiran ini, "Ulul Albab" adalah golongan yang mana pemikirannya matang dan mampu menapis setiap apa yang diambilnya dan natijah dari pemikiran ini membawa kebaikan di dunia dan di akhirat dan yang paling penting pemikiran ini berteraskan Quran dan Sunnah.
Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah Ali imran (190-191) yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi,silih berganti siang dan malam,ada tanda-tanda kebesaran bagi Ulul Albab(190)yakni mereka yang mengingati Allah samada mereka berdiri,duduk atau baring,dan mereka memikirkan kejadian dilangit dan dibumi.sesungguhnya Wahai Tuhan,sesungguhnya engkau tidak menciptakan dengan sia-sia,Maha Suci Engkau,selamatkan kami dari azab api neraka(191)"
Di dalam ayat ini Allah S.W.T telah menerangkan ciri-ciri utama Ulul Albab yakni mereka yang sentiasa mengingati Allah (zikir) dan zikir mereka ini disertai fikir (tafakkur).
Telah berkata Imam al-Ghazali :
"Sungguh jalan untuk mengenal Allah (makrifatullah) dan mengagungkannya itu adalah dengan cara memikirkan setiap makhlukNya,merenung keajaiban dan memahamkan hikmah yang terkandung dalam segenap ciptaanNya"
Bagi melahirkan "Ulul Albab",apakah yang perlu kita titik beratkan?Adakah kuantiti?Adakah kualiti?
Inilah yang dimaksudkan dengan secangkir kopi vs sesudu madu dimana ianya boleh kita tafsirkan kuantiti vs kualiti.Jika kita hendak membincangkan tentang kuantiti dan kualiti dalam membina insan "Ulul Albab",tidak dapat tidak,kita harus menyelak serta menyemak kitab-kitab sirah yang mana kebanyakkan dari sejarah-sejarah Islam telah membuktikan bahawa kuantiti tidak menjamin sesuatu kejayaan bahkan sebaliknya kualiti yang menjamin kejayaan sesuatu kuantiti.
Antara contoh yang kita boleh ambil bahawa kuantiti tidak menjamin sesuatu kejayaan adalah pada Perang Hunain dimana tentera Islam pada waktu itu adalah seramai 12 000 orang (10 000 dari madinah,2 000 dari Mekah) melawan tentera kafir yang lebih kurang banyaknya.Ada diantara tentera Islam yang mengatakan Islam akan menang dek kerana ramainya bilangan tentera pada waktu itu tetapi ada diantara tentera Islam ini yang mana jiwanya tidak sepenuhnya menjiwai Islam.Apabila perang bermula,ada diantara tentera Islam yang lari bertempiaran setelah diserang dari lembah Hunain.Melihat kepada keadaan pada waktu itu,Rasullullah telah memanggil kembali tentera Islam dan yang menyahut seruan Rasulullag pada waktu itu hanyalah 200 orang sahaja dan pada saat ini Allah S.W.T telah menurukan pertolongan kepada tentera Islam seperti yang telah difirmankan Allah di dalam surah at-Taubah ayat (25-26).
Antara contoh lain bahawa kuantiti tidak menjamin sesuatu kejayaan adalah sejarah Perang Badar Kubra yang mana pada saat itu tentera Islam tidak sampai 300 orang (ada pendapat yang mengatakan 313 orang) menentang 1000 tentera kafir.Hasil didikan Rasulullah dalam membentuk sahsiah para sahabat yang mana diri dan jiwa mereka ini mereka serahkan untuk Allah dan RasulNya telah berjaya memenangi peperangan Badar Kubra ini.Peperangan Badar Kubra ini juga difirmankan Allah di dalam surah al-Anfal ayat (9-10).
Bukti lain yang boleh kita lihat bahawa kuantiti tidak menjamin sesuatu pun bahkan kualiti itu yang menjamin kuantiti adalah pada zaman pemerintahan khalifah Umar Ibn Aziz yang mana pada zaman beliau tidak mujud penerima zakat dek kerana hasil didikan bagi membina insan "Ulul Albab".Jika kuliti tidak dititikberatkan,mana mungkin Islam yang pada mulanya hanya beberapa orang mampu menguasai sepertiga dunia hasil didikan dalam membina generasi "Ulul Albab"
Jika kualiti tidak dititikberatkan sebaliknya hanya kuantiti diutamakan dalam membina generasi "Ulul Albab" maka akan rosaklah generasi tersebut seperti sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad & Abu Dawud yang mana mafhumnya :
"Akan tiba suatu masa dimana Umat Islam akan dikerumuni oleh sekelian manusia seperti orang yang lapar mengerumuni makanan walhal pada masa itu Umat Islam ramai namun mereka umpama buih-buih di lautan"
Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Syaikhan yang mana mafhumnya :
"Manusia itu umpama kelompok unta,ada 100 ekor unta tetapi tidak ada yang boleh dijadikan tungagngan"
Adakah generasi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah yang ingin kita bina dek kerana kita lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti.Tidak dinafikan bahawa kuantiti itu penting akan tetapi kuantiti itu haruslah di gilap dengan kualiti agar kita tidak rugi di kemudian hari dek kerana kita hanya rancak membangunkan modal insan.
Persediaan membina generasi "Ulul Albab"
Di dalam persediaan membina generasi "Ulul Albab",tidak dapat tidak,kita harus kembali kepada Quran dan Sunnah kerana kayu pengukur kepada "Ulul Albab" adalah seperti yang di anjurkan oleh al-Quran.
Firman Allah S.W.T di dalam surah al-Anfal (60) :
"Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka (musuh Allah) dengan kekuatan yang kamu miliki"
Sabda Rasulullah yang mana mafhumnya:
Bersegeralah melakukan amal soleh,kerana kamu akan ditimpa masalah seperti kepingan-kepingan malam"
Persiapkanlah diri dengan ilmu yang secukupnya agar kita tidak mudah mengkhizir buta dan menyalahkan pendapat orang lain seperti mana firman Allah di dalam surah al-Israk (36):
"Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya"
Syed Qutub didalam Fi Zilal Quran ada menyebutkan bahawa:
"Janganlah kamu mengikuti sesuatu tanpa berpandukan ilmu yang meyakinkandan janganlah mengikuti sesuatu yang tidak terbukti kesahihannya"
Tidak dapat tidak,jika kita ingin melahirkan generasi "Ulul Albab",kualiti harus diutamakan dari kuantiti kerana kita ingin melahirkan generasi "Ulul Albab" seperti yang dianjurkan oleh al-Quran dan Sunnah.
No comments:
Post a Comment