Thursday, October 13, 2011

AMANAH & TANGGUNGJAWAB

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dari-Nya kita masih lagi diberikan waktu untuk bernafas dan menikmati nikmat Iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang mana Baginda merupakan "roll-model" atau pun contoh yang mesti diikuti dalam memikul amanah dan tanggungjawab sehingga Baginda digelar "al-amin".

Selesai sudah majlis syura untuk memilih pemimpin-pemimpin yang akan menerajui Majlis Mahasiswa Pulau Pinang Jordan (MUTIARA). Hasil dari majlis syura yang diadakan, diri ini telah dilantik sebagai YDP untuk menerajui dan memimpin MUTIARA bagi sesi 2011/2012. Sungguh berat untuk diri ini menerima jawatan yang diberikan dengan kekurangan dan kedaifan diri ini.
Amanah Dan Tanggungjawab

Amanah dan tanggungjawab merupakan suatu perkara yang tidak boleh di ambil enteng atau pun diambil mudah bagi sesiapa yang ditaklifkan untuk memikul sesuatu amanah dan tanggung jawab. Banyak firman-firman Allah yang menceritakan tentang amanah dan tanggungjawab.

“Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; semuanya enggan untuk memikul amanat dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Al Ahzab : 72)

Ayat al-Ahzab ini telah menggambarkan betapa beratnya sesuatu amanah dan tanggungjawab sehingga langit, bumi dan gunung-ganang tidak mahu memikul amanah dan tanggungjawab kerana takut tidak terdaya melaksanakannya.

Rasulullah s.a.w bersabda mengenai amanah yang mana mafhumnya :

"Tunaikanlah amanat kepada orang yang mempercayakan kepadamu dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu" (riwayat Abu Dawud & Tirmidzi)


Sesungguhnya amanah dan tanggungjawab merupakan suatu yang berat bagi orang yang memahaminya kerana setiap perkara yang di lakukan akan disoal dia hadapan Allah S.W.T nanti. Akan tetapi ianya merupakan suatu anugerah bagi mereka yang tidak memahami dan mengerti apa yang dimaksudkan dengan amanah dan tanggungjawab.

Sabda Baginda lagi yang mana mafhumnya :

"Tiada iman pada orang yang tidak beramanah" (riwayat Ahmad)

"Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji" (riwayat Ahmad)

Terdapat kisah yang menunjukkan bahawa amanah dan tanggungjawab merupakan sesuatu yang besar seperti mana kisah Nabi s.a.w dengan seorang badawi :

Ketika Nabi s.a.w di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang Arab Badawi lalu bertanya : "Bilakah hari kiamat?".Rasulullah meneruskan ucapannya. Ada yang berkata Baginda mendengar apa yang ditanya tetapi Baginda tidak suka apa yang ditanya. Sementara yang lain pula berkata Baginda tidak mendengar soalan tersebut. Apabila telah selesai ucapannya, Baginda bertanya : "Manakah orang yang menyoal?". Jawab badawi tersebut : "Saya disini wahai Rasulullah". Baginda bersabda : "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah hari kiamat". Tanya badawi tersebut : "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu?". Sabda Baginda : "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat".

Banyak lagi nas-nas dari Al-Quran dan haidth-hadith Nabi s.a.w yang membicarakan tentang amanah dan tanggungjawab merupakan suatu perkara yang tidak boleh diambil mudah kerana setiap pemimpin yang memegang amanah dan tanggungjawab akan disoal di hadapan Allah S.W.T kelak.

Moga diri ini diberi kekuatan untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh MUTIARA kerana diri ini percaya bahawa Allah tidak akan membebankan seseorang kecuali dengan apa yang terdaya olehnya. Moga Allah memudahkan segala urusanku.







3 comments:

  1. salam... tahniah utk mu sahabat. moga dgn amanah ini lebih mematangkan mu dlm medan dakwah yg agak luas ni.... be the best from the best. heheheh

    ReplyDelete