Wednesday, August 17, 2011

LaIlAtUl QaDr



Alhamdulillah,kita akan memasuki fasa terakhir Ramadhan iaitu pelepasan daripada api neraka dan ini menunjukkan Ramadhan hampir tiba ke penghujungnya. Pada fasa terakhir ini atau bahasa yang lebih mudah difahami khususnya bagi masyarakat melayu adalah 10 malam terakhir dimana pada 10 malam terakhir akan ada malam yang lebih baik daripada 1000 bulan sepertimana Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Qadr :

Maksudnya :

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan (1) Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? (2) Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan ( 3 ) Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan ( 4 ) Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( 5 )

Menurut Hamka, Lailatul Qadr memberi 2 maksud. Pertama Lailatul Qadr membawa maksud kemuliaan kerana setengah dari erti Qadr adalah kemuliaan manakala maksud yang kedua ialah penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w didalam memberi petunjuk kepada umat manusia.

Bilakah berlakunya Lailatul Qadr

Terdapat beberapa pendapat tentang peristiwa Lailatul Qadr samada iai berlaku sekali atau datang pada setiap Ramadhan. Menurut Ibn Umar, Lailatul Qadr berlaku pada setiap Ramadhan ( Jami' al-Bayan). Pendapat yang lain dari setengah ulama ada menyatakan Lailatul Qadr berlaku sekali sahaja iaitu ketika Al-Quran mulai diturunkan pertama kali.

Terdapat beberapa Hadith yang menunjukkan tentang Lailatul Qadr dan ia tetap berlaku atau berulang pada setiap bulan Ramadhan akan tetapi tidak dipastikan secara tepat bilakah ia akan berlaku. Oleh sebab itu, di galakkan kepada kita supaya setiap malam pada bulan Ramadhan disi dengan sebaik-baiknya.

Terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Lailatul Qadr itu ialah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan iaitu sejak dari malam 21 kerana pada malam itu Rasulullah s.a.w lebih memperkuatkan ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya sehinggakan Baginda mengejutkan ahli keluarga Baginda.

Dari Uqbah iaitu Ibnu Harith, katanya. Aku mendengar Ibnu Umar r.a berkata : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : " Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh hari yang terakhir. Namun jika salah seorang dari kamu tidak mampu,maka jangan sampai terlepas pada hari ketujuh yang terakhir. (Riwayat Muslim)

Terdapat hikmah dimana mengapa Allah S.W.T menyembunyikan bila berlakunya malam Lailatul Qadr ini supaya umat Islam rajin beribadat sepanjang malam khususnya pada sepuluh malam yang terakhir Ramadhan.Malam Lailatul Qadr adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai yang mana tidak mengambil berat tentang malam Lailatul Qadr.






No comments:

Post a Comment