Monday, July 11, 2011

Tuan Guru Dato' Haji Nik Aziz Bin Nik Mat




Aku menulis tentang Tuan Guru Dato' Haji Nik Aziz Nik Mat bukanlah kerana dasar politik akan tetapi aku menulis tentang diri Tuan Guru Adalah kerana kagumnya aku akan ketokohan beliau. Hati kecil ini juga terdetik untuk menulis tentang sejarah hidup Tuan Guru kerana lewat hari ini lahirnya manusia-manusia jahil yang dengan sewenang-wenangnya mengkritik dan menghina para ulama'. Ketahuilah wahai manusia-manusia jahil bahawa para ulama' merupakan pewaris Nabi. Janganlah kalian dengan sewenang-wenangnya menghina para ulama'

Latarbelakang Keluarga Dan Pendidikan


Dilahirkan di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu pada tahun 1931, Tuan Guru Haji Abdul Aziz telah mempelajari ilmu agama sejak alam kanak-kanak lagi. Mula-mula beliau belajar dengan ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat, juga seorang guru agama dan ulama yang terkenal di kampungnya pada masa itu.

Kemudian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz melanjutkan pula pengajian agamanya di pondok Tuan Guru Haji Abbas di Jertih, Terengganu. Selepas beberapa tahun mendalami ilmu agama dengan Tuan Guru Haji Abbas, beliau berangkat ke India untuk melanjutkan pengajiannya di sana pula.

Setelah tamat pengajiannya di India, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berangkat pula ke Mesir. Di Mesir beliau memasuki Universiti Al-Azhar di dalam jurusan bahasa Arab. Setelah memperolehi ijazah Sarjana Muda di dalam Pengajian Arab, Tuan Guru Haji Nik Aziz meneruskan lagi pengajiannya di universiti yang sama di dalam jurusan perundangan Islam. Beliau lulus pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana iaitu M.A. di bidang perundangan Islam.

Pulang Ke Tanahair


Setelah dadanya diisi dengan ilmu agama secara mendalam, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kembali semula ke tanahair. Di tanahair beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru agama di sebuah sekolah agama rakyat di samping mengajar agama di kelas-kelas dewasa pada sebelah malamnya.

Beberapa tahun kemudian beliau mengajar pula di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Kota Bharu – sebuah sekolah menengah agama aliran Arab yang tertua dan terbesar di negeri Kelantan.

Dalam masa yang sama, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menceburkan dirinya di dalam kegiatan-kegiatan dakwah. Beliau menyampaikan ceramah-ceramah agama di pelbagai tempat khususnya di Masjid Kampung Pulau Melaka – kampung tempat beliau dilahir dan dibesarkan!.

Dari semasa ke semasa namanya semakin terkenal. Murid-muridnya semakin bertambah ramai. Imejnya sebagai seorang tokoh ulama yang disegani dan dikagumi ramai semakin menonjol. Pengaruhnya semakin meluas. Kewibawaaannya semakin mendapat pengiktirafan umum.

Kesimpulan

Sekadar ini sahaja yang mampu aku coretkan buat kali ini. Ingatlah, janganlah kita dengan mudah menghina para ulama'. Di saat ini terngiang-ngiang pesanan seorang sahabat "siapa kita nak menghina atau mengkritik para ulama' sedangkan ilmu kita pun tidak setanding bulu hidung dia". Marilah kita sama-sama renungkan.


Ulama Pewaris Nabi

1 comment:

  1. perghh ada blog albi nada ni,..hebat2..teruskan menulis

    ReplyDelete