Friday, July 1, 2011

Isra' & Mikraj

Lama rasanya jari-jemari ini tidak menari-nari di atas papan keyboard dan hati ini terpanggil untuk menulis salah satu dari peristiwa yang penting dan masyur dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj.Peristiwa ini merupakan salah satu dari mukjizat Nabi Muhammad s.a.w yang mana ada di sebutkan di dalam Al-Quran di dalam surah al-Isra' ayat 1 :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya:

(Maha Suci Allah), yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad saw) pada suatu malam dari al-Masjidi'l-Haram ke al-Masjidi'l-Aqsa, yang telah Kami (Allah) berkati sekelilingnya, agar Kami (Allah) perlihatkan kepadanya (Muhammad saw) sebahagian daripada tanda-tanda Kami (Allah). Sesungguhnya Dia (Allah) adalah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.


Peristiwa Isra' dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab tahun ke-12 kenabian yang mana tahun ini juga dinamakan tahun kesedihan. Tahun kesedihan ini kerana kematian isterinya yang tercinta iaitu Siti Khadijah dan juga bapa saudaranya iaitu Abu Thalib. Isra' bermaksud perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa manakala Mikraj pula ialah Nabi s.a.w di angkat ke langit ke-7 hingga ke Sidratul Muntaha bertemu dengan Allah S.W.T

Sebelum peristiwa Isra' dan Mikraj berlaku, dada baginda telah di belah oleh Malaikat Jibril dan dibuang ketul hitam dan disiram dengan air zam zam dan di siram juga dengan hikmat, ilmu dan iman.

Peristiwa Isra' :
Peristiwa Isra' ialah Nabi s.a.w dijalankan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam hanya 1 malam dengan menaiki tunggangan iaitu Buraq. Di Masjidil Aqsa, Nabi s.a.w telah solat sunat 2 rakaat dan ada pendapat yang mengatakan ketika itu seluruh para Nabi dan Rasul sedang bersolat di Masjidil Aqsa dan Nabi s.a.w telah di jemput untuk mengimamkan solat tersebut. Sebelum Nabi s.a.w melalui peristiwa Mikraj, Baginda telah di tawarkan dengan 2 perkara iaitu susu dan arak akan tetapi Nabi s.a.w telah memilih susu sebagai pilihan.

Sepanjang perjalanan baginda ke Masjidil Aqsa, Baginda telah di arahkan oleh Malaikat Jibril untuk solat 2 rakaat di tempat-tempat tertentu iaitu seperti:
  1. Negeri Thaibah (Madinah) tempat Baginda akan melakukan Hijrah
  2. Bukit Tursina iaitu tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu
  3. Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa a.s dilahirkan
Dalam perjalanan ini juga, Baginda telah menyaksikan berbagai-bagai peristiwa yang aneh:
  • Kaum yang sedang bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman mereka namun apabila dituai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril : itulah kaum yang berjihad "fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah s.a.w diberitahu : itulah bau kubur Masyitah bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah.
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka akan sembuh kembali lalu dipecahkan kembali. Rasulullah s.a.w diberitahu : itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan bati dari neraka jahanam. kata Jibril : itulah orang-orang yang tidak mengeluarkn zakat harta mereka.
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah dan busuk sedangkan daging masak ada disisi mereka. Kata Jibril : itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan mempunyai suami/isteri masing-masing.
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril : itulah orang yang makan riba'
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak berdaya memikulnya tetapi ditambah lagi dengan kayu yang lain. Kata Jibril : itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggungting besi berkali-kali. Kata Jibril : itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril : itulah orang-orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang.
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat dimasuki kembali lubang itu. Kata Jibril : itulah orang yang bercakap besar kemudian menyesal tetapi sudah terlambat.
  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibril : itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibril : itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
  • Seorang perempuan tua bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril : itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Di dalam peristiwa Isra' dan Mikraj ini juga, Allah S.W.T telah memfardhukan solat yang pada asalnya adalah 50 waktu tetapi dikurangkan kepada 5 waktu sahaja.

Moga kita semua dapat mengambil ibrah atau pengajaran dari salah satu peristiwa yang amat penting dalam dunia Islam dan sejarah Islam ini.

No comments:

Post a Comment